SALAM KEMERDEKAAN KE 52..

31 Ogos 1957, suatu tarikh dimana menitisnya air mata, terungkapnya senyum kepuasan dan melahirkan rasa kepuasan kepada para penduduk Malaya ketika itu. Setelah sekian lama dijajah, tarikh inilah melepaskan Malaya dari segalanya. Setelah sekian lama bermandi darah, tarikh inilah menyucikan mereka dari warna merah darah. Setelah sekian lama penuh hiba dan takut, tarikh inilah memberi kepuasan kegembiraan kepada mereka semua.

Tarikh kemerdekaan Malaya merupakan suatu tarikh wajib yang harus diingati oleh setiap yang bergelar warganegara Malaysia yang berbilang bangsa dan keturunan. Tarikh ini merupakan suatu tarikh nostalgia dan kenangan sepanjang zaman yang seharusnya warganegara perlu sentiasa tidak alpa dan sentiasa menghayati setiap perjuangan yang telah dibuat oleh perjuang-perjuang negara untuk memastikan pada tarikh 31 Ogos 1957 itu, laungan MERDEKA!! MERDEKA!! MERDEKA!! berkumandang di ruang maya Malaya ketika itu.

Bapa Kemerdekaan negara, YTM Almarhum Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, seorang kaum kerabat Kesultanan Negeri Kedah telah dengan lantang dan bersemangatnya melaungkan kalimah MERDEKA di Stadium Merdeka, KL pada tarikh tersebut. Ini secara tidak langsung telah memperlihatkan bahawa kemerdekaan negara kita penuh dengan kedaulatan dan kemuliaan, ditambah dengan jasa dan pengorbanan para perjuang kemerdekaan yang mengorbankan apa sahaja demi untuk memerdekakan negara.

Negara Malaysia kian hari kian bertambah maju dan berjaya. Setelah YTM Almarhum Tuanku tidak lagi bergelar Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tuanku telah tidak teragak-agak untuk memberi jawatan tersebut kepada YAB Dato' Abdul Razak Hussein bagi bergelar Perdana Menteri Malaysia Kedua. Dato' Razak (Tun) telah menerima jawatan berat itu dengan penuh semangat kebangsaan kerana beliau tahu bukan mudah untuk negara ini mencapai 31 Ogos 1957 tersebut. Tun Razak telah memacu negara dengan menekankan atau mengutamakan rakyat jelata agar kemerdekaan negara akan terus terbela.

Setelah kematian mengejut Tun Abdul Razak di luar negara, kemerdekaan negara telah dibela dan diperlihara oleh YAB Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri Malaysia Ketiga. Tun Hussein tahu bahawa hanya dengan perpaduan rakyatlah kemerdekaan sesebuah negara itu akan dapat kukuh dan terpelihara sampai bila-bila. Oleh yang demikian, Tun Hussein telah memacu Malaysia dengan menekankan konsep perpaduan antara kaum di Malaysia agar kemerdekaan negara yang dicapai dengan penuh kemegahan pada 31 Ogos 1957 tidak akan diperbodohkan oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab. Tun Hussein telah menaikkan semangat penghayatan kemerdekaan agar Malaysia negara merdeka dengan penuh kedaulatan ini tidak akan dimusnahkan atau dipermainkan.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat menggantikan Tun Hussein yang tidak mampu lagi bergelar pemimpin negara ketika itu. Tun Dr. Mahathir merupakan seorang negarawan Malaysia yang cukup dikagumi kawan dan lawan dari dalam dan luar negara kerana pemikiran dan strategi beliau dalam memacu negara tercinta. Tun Dr. Mahathir sedar bahawa kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 bukan suatu perkara yang mudah untuk dikecapi, oleh itu Tun Dr. Mahathir telah mengagaskan Wawasan 2020 sebagai hala tuju Malaysia demi memelihara kemerdekaan dan kemakmuran negara. Selama 23 tahun bergelar Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir telah 'membina' Malaysia mengikut acuan sendiri dan telah 'membina' benteng-benteng kemerdekaan negara dari diceroboh oleh bangsa asing yang sudah semestinya kurang senang dengan kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia sehingga kini. Tun Dr. Mahathir telah berundur dari bergelar Perdana Menteri Malaysia demi meneruskan kesinambungan kemerdekaan negara terpelihara.

Tun Haji Abdullah Haji Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri Malaysia Kelima yang banyak menumpukan kepada keterbukaan dan integriti di Malaysia. Tun Haji Abdullah sedar bahawa dengan adanya keterbukaan dan keintegritian yang baik di negara ini, sesebuah kemerdekaan negara itu akan boleh dikuatkan melalui para rakyatnya yang diberi beberapa 'kuasa' dalam sistem demokrasi dan keterbukaan. Tun Haji Abdullah ingin melihat bahawa setiap rakyat Malaysia ini dihargai, pendapat mereka didengari, hak mereka dijagai dan kedudukan mereka diiktiraf oleh negara barulah kemerdekaan sesebuah negara itu akan utuh melalui rakyatnya yang memiliki 'kuasa' terhadap negaranya sendiri. Tun Haji Abdullah melihat kemerdekaan negara ini adalah sesuatu yang wajib diperlihara oleh setiap daripada rakyat jelata.

YAB Dato' Sri Haji Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak merupakan Perdana Menteri Malaysia Keenam yang mula mengambil tampuk pemerintahan negara pada April 2009 lalu. Dato' Najib merupakan seorang yang genius dan berpandangan jauh. Beliau mengakui bahawa kemerdekaan negara suatu yang mudah untuk dikecapi tetapi amat sukar untuk dikekalkan. Oleh itu, Dato' Najib telah menggagaskan 1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sebagai suatu konsep negara kearah memelihara kemerdekaan negara melalui 3 indikator utama iaitu perpaduan rakyat, kepentingan kepada rakyat dan kualiti kerja yang cemerlang. Dato' Najib melihat bahawa 3 indikator ini mampu untuk memelihara kemerdekaan negara ini dari diperdajalkan oleh pihak-pihak asing yang tidak bertanggungjawab. Dato' Najib berani dalam membuat transformasi kepada barisan kepimpinan negara dengan 'merakyatkan Yang Berhormat' atau memastikan setiap wakil rakyat atau menteri tidak lagi dilayan atau dilihat sebagai 'Raja Rakyat' tetapi perlu dilihat sebagai 'Rakan Rakyat' melalui pendekatan konsep 1Malaysia ini.

Diharapkan Malaysia tercinta ini akan terus terpelihara kemerdekaannya sehingga bila-bila kerana setiap daripada rakyat Malaysia ini tidak mahu lagi dijajah buat kali kedua, dan tidak mahu lagi ada gerakan untuk mencari kemerdekaan negara buat kali kedua. Apa yang rakyat mahukan ialah gerakan untuk mengekalkan kemerdekaan negara yang telah 52 tahun kita sama-sama mengecapinya kini. Dengan berkat Ramadan Al-Mubarak ini juga, rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa dan agama seharusnya bersama-sama berdoa kepada Tuhan untuk memelihara kemerdekaan negara kita dan bersama-sama bersatu hati, bersama sejiwa sebangsa untuk mengekalkan kemerdekaan negara Malaysia bagi 52 tahun akan datang iaitu ulangtahun kemerdekaan Malaysia ke-104 suatu ketika nanti disambut dengan penuh keseronokan, kesyukuran dan ungkapan TERIMA KASIH ATUK DAN NENEKKU yang memelihara kemerdekaan Malaysia ini. Berilah hadiah kemerdekaan negara kita kepada cucu cicit kita dengan selesa dan warna warni.


'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan