TAK HABIS2 ASYIK PILIHANRAYA..

Permatang Pasir umpama janda yang sangat cantik, menjadi tumpuan dan idaman lelaki. Untuk mendapatkannya berbagai teknik dan tektik digunakan oleh sang lelaki. Tetapi itu kisah janda..Tetapi pilihanraya kecil ni untuk mendapat dan untuk memenanginya sekurang-kurangnya faktor penting yang perlu diambil kira adalah isu semasa, soal parti dan latar belakang calon. Sekiranya ketiga-tiga faktor ini diuruskan dengan baik, maka lebih mudahlah untuk mencapai kejayaan.

Walaupun faktor tersebut tidak menjaminkan kejayaan, sekurang-kurangnya ia dapat mengelakkan sesuatu kempen sesebuah parti dalam keaadaan bertahan yang mana ia sangat-sangat perlu dielakkan sewaktu pilihanraya, khususnya pilihanraya kecil yang menjadi fokus seluruh negara.

Dalam kempen pilihanraya kecil Permatang Pasir yang sedang berjalan sekarang, Barisan Nasional berhadapan dengan cabaran untuk menjelaskan isu calonnya Rohaizat Othman yang disenaraihitamkan oleh Majlis Peguam. Lawannya PAS memposisikan isu ini sebagai persoalan kredibiliti dan ia adalah sesuatu yang harus diselesaikan sebelum hari pengundian.

Isu-isu berkaitan dengan calon perlu diselesaikan dalam beberapa hari pertama kempen. Sekiranya ia berlarutan melebihi separuh tempoh berkempen, ia akan dilihat sebagai satu isu yang sukar dirungkai. Dalam hal inilah, maka sekiranya Barisan Nasional gagal menjelaskan isu ini dengan baik, maka ia akan menjejaskan peluang parti itu untuk menang pilihanraya kali ini.

Selepas PRU12 lalu, harapan masyarakat untuk parti-parti politik menentukan bahawa calon Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri mempunyai latarbelakang yang baik meningkat secara mendadak. Isu yang menghantui bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin sehingga membawa kepada perletakan jawatannya dan juga Ronnie Liu di Selangor adalah bukti betapa rakyat semakin bersikap "demanding" terhadap kualiti calon.

Parti-parti politik sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat tidak boleh memandang enteng faktor kualiti calon. Dengan kewujudan rangkaian sosial (social network), sukar untuk seseorang calon menyembunyikan latarbelakangnya yang kurang baik. Sementara setiap parti politik akan berusaha menentukan ia menampilkan calon terbaik, ada kalanya saringan yang dilakukan belum cukup sempurna.

Selain sejarah peribadi dan akhlak, calon juga harus mempunyai kemampuan intelektual yang baik, mampu berkomunikasi dengan hebat (sama ada di media massa atau dalam hubungan perorangan) dan mempunyai rekod perkhidmatan kepada masyarakat.

Maka di sinilah letaknya keperluan kepada seseorang ahli politik untuk "mengukur baju di badan sendiri" dan menolak tawaran pencalonan sekiranya beliau boleh menjadi liabiliti kepada parti!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan